Hari Raya sinonim dengan kegembiraan balik kampung berjumpa sanak saudara. Tetapi dalam keseronokan bergembira, perasan tak yang anak kecil mudah dijangkiti kuman hingga terkena batuk, demam dan selesema.
Kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil dari usia bayi hingga enam tahun, sila ambil langkah penjagaan yang sepatutnya.

Menurut, Dr Hayati Jaafar, Pakar Kanak-Kanak, Kluang Utama Specialist Hospital, enam tahun pertama hidup si manja mudah terdedah dengan sebarang jangkitan penyakit kerana sistem pertahanan badan masih belum matang.

Antara penyakit yang selalu menyerang kanak-kanak di musim perayaan adalah

1. Penyakit berjangkit seperti jangkitan sistem respiratori (pernafasan) iaitu radang sinus dan rongga hidung (acute sinusitis/acute rhinitis.

2. Radang tekak (acute pharyngitis).

3. Radang tonsil (acute tonsillitis).

4. Jangkitan paru-paru (pneumonia).

Penyakit-penyakit tersebut akan menyebabkan gejala seperti demam, batuk selesema, hidung tersumbat, sakit tekak, sesak nafas, lelah, kurang selera makan dan keletihan.

5. Jangkitan usus akut (acute gastroenteritis) menyebabkan gejala cirit-birit, muntah-muntah, sakit perut, kembung perut dan dehidrasi.

6. Jangkitan virus seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (hand, foot & mouth diease).

7. Measle (demam campak).

8. Chicken pox (cacar air).

Penyakit yang popular dan sering menyerang kanak-kanak pada musim perayaan ini berlaku disebabkan beberapa faktor. Maka ibu bapa mesti ambil peduli tentang faktor tersebut sebagai langkah pencegahan kepada si manja.

1. Berada pada jarak yang dekat dengan individu yang mempunyai gejala penyakit seperti jangkitan sistem respiratori, usus akut dan virus.

2. Tidak menjaga soal kebersihan tangan.

3. Pengambilan makanan yang tidak bersih atau sudah rosak.

4. Kurang rehat atau tidak mendapat tidur yang cukup akan menyebabkan sistem imuniti badan anak terganggu.

Jadi ibu bapa mesti memainkan peranan penting bagi mengelakkan si manja mendapat jangkitan penyakit. Anda harus prihatin dan peka dengan gejala penyakit yang dialami oleh si kecil dan perlu tahu bila mesti berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Tanda-tanda anak kena jangkitan penyakit

1. Tidak bermaya dan lesu.

2. Kaki dan tangan terasa sejuk.

3. Pernafasan yang laju.

4. Tidak membuang air kecil lebih daripada empat hingga enam jam.

5. Demam

* Bayi usia kurang tiga bulan, suhu melebihi 38 darjah selsius.

* Bayi usia tiga hingga enam bulan, suhu melebihi 39 darjah selsius.

* Demam berlarutan lebih lima hari.

Tindakan awal yang ibu bapa boleh lakukan jika anak ada tanda-tanda tersebut iaitu

1. Kawal suhuu badan dengan mengelap badan anak menggunakan air paip atau air suam kuku.

2. Beri ubat demam seperti paracetamol dengan dos yang sesuai mengikut berat badan dan usia anak.

3. Beri anak minum air secukupnya.

4. Beri anak ubat air garam (oral rehydration salts) untuk mengekalkan hidrasi badan.

Tip mengelak jangkitan penyakit

1. Jaga kebersihan tangan dengan membasuh menggunakan sabun dan air paip selama 20 saat.

2. Menutup mulut semasa batuk atau bersin dengan sapu tangan atau tisu. Jika tiada tisu, tutup mulut dengan bahagian lengan atas. Bukan tapak tangan!

3. Memastikan anak mendapat rehat dan tidur yang cukup supaya sistem imuniti tidak terganggu.

4. Elakkan anak daripada berada berhampiran dengan individu yang mempunyai gejala penyakit mudah dijangkiti.

5. Memastikan anak makan makanan yang bersih dan masih elok.
Sumber: Majalah Pa&Ma