MENGAPA ANAK-ANAK SEKARANG LEBIH AGRESIF? Atau sebenarnya mereka itu LEBIH EKSPRESIF!
Oleh: Ibu Rose
October 2, 2012 at 11:21am
Salam Semua,
Alhamdulillah, pagi ini Ibu mempunyai sedikit masa. Ibu sedang di
dalam kereta ke Kedah untuk mengendalikan Kursus di sana. Hubby memandu,
maka ibu bolehlah menulis kepada sayang semua.
Maaf kerana lama menunggu mengenai jawapan kepada isu anak-anak kecil
yang suka menjerit-jerit, mengigit-gigit dan memukul diri sendiri atau
orang lain.
Sekarang mari kita mulakan perkongsian. Sebenarnya, pada usia 1 tahun
hingga 3 tahun dan mungkin membawa ke 4, 5, 6 tahun adalah usia dimana
anak-anak mula mengekpresikan diri mereka. Mereka mahu memberitahu apa
yang mereka rasa dan mahu. Namun, oleh kerana mereka tidak pandai
bertutur lagi ( bagi yang 1-2 tahun) maka mereka melakukannya melalui
pergerakan dan aksi. Sebelum ini mereka melakukan melalui tangisan
sahaja. Oleh itu ibu bapa perlu memerhatikan apakah maksud pergerakan
mereka itu.
Beberapa perkara yang perlu kita fahami;
1) Jika ada anak 1 hingga 2 tahun yang kelihatan mahu memukul anak
lain, jangan cepat bersangka buruk kepadanya. Selalunya dia mahu
memegang dan mengusap anak kecil itu kerana melihat orang lain melakukan
perkara seperti itu. Namun, pada usia sebegini mereka belum pandai
mengawal kekuatan tangan mereka, maka adakalanya jadi terlebih kasar.
Apa yang ibu selalu lakukan pada anak-anak kecil sebegini, ibu tolong
pegang tangan mereka dan tolong dia mengawal tangannya supaya dia boleh
mengusap baby kecil itu sambil mengatakan; ‘gently, gently…’ atau ‘
perlahan-perlahan…’ Jika anda cepat marah dengannya, maka dia akan
hilang keyakinan dirinya dan membentuk kepercayaan diri yang negatif di
dalamnya. Contohnya “ Saya ini tidak berguna”.
2) Setiap generasi mempunyai karacter yang berbeza. Contohnya
generasi X, Y, Z dan mellinia berbeza dari segi trait dan karakter
mereka. Kebanyakan Gen Mellinia ini lebih ekspresi. Selalu dikatakan
degil, keras kepala dan suka menunjuk perasaan, memberontak dan lebih
berani mengeluarkan pendapat mereka. Mengapa mereka begitu memang ada
dan banyak sebabnya. Namun, ibu tidak mahu membincangkan di sini kerana
ibu telah menulis mengenai ini sebelum ini. Sila lihat blog ibu sebelum
ini.
3) Ramai ibu bapa kurang berpengetahuan cara terbaik menangani
anak-anak Gen Mil ini. Ramai yang masih menggunakan skil parenting
semalam untuk menangani Gen Mil ini. Contohnya, menyuruh anak-anak
dengar dan patuh tanpa penjelasan yang memuaskan. Terlalu lembut
sehingga semuanya dibiarkan. Terlalu keras dan tidak ada ruang
berbincang, Terlalu suka melarang dan ditakut-takutkan. Maka, anak-anak
ini menjadi lagi hampa dan memberontak. Dan Gen Mil ini lagi cepat dan
kuat berasa hampa kerana memang trait mereka ini adalah sangat ekspresi.
Sebenarnya mereka bukan degil, tapi kuat keinginan dan mahu cara
mereka. Oleh itu bila kehendak mereka ditangani DENGAN TIDAK BIJAK DAN
BERHEMAH, ini yang menyebabkan mereka memberontak. Dan sekiranya ini
terus-menerus berlaku, anak ini akan membesar dengan semangatnya patah
atau menjadi agresif yang tidak menentu. Itulah yang menyebabkan keadaan
bertambah kritikal. Jika tidak diperbaiki, anak-anak ini akan membesar
menjadi remaja yang payah dibentuk.
Langkah Mengatasi Perkara ini.
Hari ini ibu kongsikan beberapa dahulu;
1) Bawa anak-anak bermain dengan aktif, seperti di padang mainan
indoor atau outdoor. Lebih baik outdoor. Bila mereka bermain, mereka
dapat mengekpresi diri mereka. Mereka boleh menjerit-jerit, melompat,
berpeluh dsb. Ini membolehkan tenaga negatif yang tersimpan dikeluarkan
dengan cara yang sihat. Cucu sulung ibu, baru-baru ini tiba-tiba suka
sangat menjerit, menjadi garang dan agak agresif. Ibu dan mamanya
perasan perkara ini. Bila kami kai balik, rupa-rupanya sudah
berbulan-bulan dia tidak dibawa bermain di padang. Semenjak itu mamanya
memastikan dia bermain di padang sekurang-kurangnya3 kali seminggu.
Semenjak mamanya melakukan perkara itu, cucu ibu tidak lagi berkelakuan
seperti tadi.
2) Kurangkan masa menonton TV, bermain video games di komputer
atau ipad atau TV. Bila anak-anak bermain video games, mereka akan
mengalami adrenalin rush. Dan bila mereka tidak beri bermain lasak di
luar terutamanya, maka adrenalin rush itu tiada jalan keluar dan
menyebabkan anak-anak kecil itu menjadi tidak keruan perlakuan mereka.
Ini selain daripada pengaruh games itu sendiri termasuklah mesej
tersirat yang subliminal dimasukkan ke dalam games itu. Oleh itu pilih
games yang baik dan try games itu dahulu sebelum diberi kepada anak-anak
kecil anda. Jika anda sendiri rasa tak menentu selepas bermain games
itu, apatah lagi anak-anak kecil itu.
3) Kurangkan pengambilan gula secara nampak atau tidak nampak.
Nampak, maksudnya kita sendiri yang memasukkan gula itu. Tak nampak
contohnya minuman soda, fast food dan sebagainya. Jika menyediakan
makanan sediakanlah dengan penuh kasih sayang dan tenang. Makanan itu
masuk ke dalam badan mereka dan menjadi darah daging.
4) Elakkan menjerit-jerit dan terlalu kerap memarah. Boleh marah,
tapi simpan marah itu untuk sesuatu isu yang sangat memerlukan marah
itu. Contohnya sesuatu yang merbahya baginya, seprti bermain di tengah
jalan dsb. Bila terlalu suka memarahi, marah kita itu sudah tidak ada
maknanya. Malah ia menjadi cara hidup yang anak-anak kecil itu akan
ikut. Marah yang tidak dikawal dengan baik akan menyalurkan tenaga
negatif yang akan diserap oleh anak-anak itu. Maka kita akan lihat
mereka pula mempunyai karakter suka marah-marah. Ibu tahu para ibu bapa
semua adakalanya tidak boleh mengawal diri dan terus marah. Itu sekali
sekala, tak pe. Kita manusia, kita buat silap. Apa yang kita tidak mahu
jadi ialah kita menjadikan itu karakter kita – suka marah-marah dan
berleter. Kawal – jika nak marah sangat, jika berdiri, duduk, istigfar
atau bilang sampai sepuluh. Jika marah juga, pergi tempat lain yang anak
tu tak nampak, maka keluarkan marah itu dengan menjerit smabil memekup
muka ke bantal … atau yang lebih baik, pejamkan mata dan bayangkan anda
berada di bawah air terjun yang indah dan air itu memandikan anda
sehingga semua marah anda tadi dibasuh keluar dan pergi bersama air yang
luruh daripada badan anda.
Bila sudah selalu melakukan sedemikian, anda akan mengambil masa yang
lebih singkat dan bila tenang, anda boleh mengambil langkah yang lebih
bijak.
Rasanya cukup dulu untuk kali ini. Jika panjang sangat nanti penat
pula nak membacanya. Nanti ibu akan sambung dari masa ke semasa.
Marilah kita bersama-sama membentuk generasi yang genius dan berhati mulia.
Salam Kasih dari Ibu.